HULU TERENGGANU – Seramai kira-kira 73 pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir di sini, dalam dilema terpaksa menaikkan caj perkhidmatan sekurang-kurangnya 80 peratus ekoran kenaikan kos bahan api pada masa ini.
Kenaikan pakej penginapan rumah bot bagi tiga hari dua malam yang kini mencecah sehingga RM1,800 semalam itu mula menampakkan kesan negatif apabila bukan sahaja tempahan semakin berkurangan, malah segelintir pelanggan juga membatalkan hajat mereka pada saat-saat akhir.
Pengerusi Persatuan Rumah Bot Tasik Kenyir, Sulong Mustafa berkata, mereka tiada pilihan lain selain menaikkan kadar caj perkhidmatan berikutan lonjakan harga diesel yang kini mencecah RM6.02 seliter.
“Kos operasi kami naik mendadak. Secara purata, sebuah rumah bot memerlukan antara 200 hingga 400 liter diesel bagi setiap trip membawa pengunjung di Tasik Kenyir.
“Ia tidak termasuk kos penyelenggaraan yang mencecah RM200 bagi setiap trip,” katanya di sini semalam.
Sulong berkata, rata-rata pengusaha rumah bot Tasik Kenyir terpaksa menaikkan caj daripada RM1,000 kepada antara RM1,600 dan RM1,800 bagi pakej tiga hari dua malam.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas ahli persatuannya, tempahan rumah bot semakin berkurangan sejak pengumuman kadar baharu tersebut kira-kira seminggu lalu.
“Sebahagian pengusaha rumah bot juga mengadu segelintir pelanggan membatalkan tempahan disebabkan kenaikan caj ini,” katanya.
Seorang pengusaha rumah bot, Mohd. Rozi Jusoh berkata, sebahagian rakannya tetap meneruskan trip dengan kadar lama bagi tempahan pelanggan dibuat awal biarpun dengan margin keuntungan rendah.
Katanya, budi bicara digunakan terutama terhadap pelanggan setia dalam kalangan pemancing tegar Tasik Kenyir.
“Kita pun tak sampai hati naikkan caj saat-saat akhir apatah lagi hilang pelanggan setia.
“Mungkin selepas ini kami guna caj fleksibel ikut harga bahan api semasa. Cuma risau kaki pancing luar Terengganu akan berkurangan apabila kos perjalanan makin mahal,” katanya.














