PADANG BESAR – Seorang wanita merayu bantuan kewangan kira-kira RM200,000 bagi membawa pulang ibunya yang kini terlantar sakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Fahad, Arab Saudi.
Siti Nur Ain Abd Sanief, 31, berkata, ibunya, Halimah Ismail, 64, berlepas ke Madinah pada 5 Februari lalu sebelum mula mengalami demam pada 10 Februari yang kemudiannya menjadi semakin serius.
“Ibu dibawa ke hospital selepas mengalami demam dan hasil pemeriksaan mendapati ibu dijangkiti Covid-19, influenza A dan rhinovirus. Ibu juga mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ibu pada awalnya dimasukkan ke Hospital Al-Salam pada 14 Februari selepas memerlukan bantuan oksigen sebelum dipindahkan ke Hospital King Fahad.
“Ibu kemudian ditidurkan dan turut dilakukan prosedur tebukan pada bahagian tekak bagi membantu pernafasan. Namun kini keadaannya menunjukkan perkembangan positif,” ujarnya.
Katanya, kos untuk membawa pulang ibunya ke tanah air dianggarkan mencecah RM200,000 yang mana jumlah itu di luar kemampuan keluarga.
Tambahnya, mereka telah menghubungi Kedutaan Malaysia, namun berdepan kekangan kos yang tinggi selain tuntutan insurans ditolak, manakala usaha melalui ejen pelancongan juga masih belum menemui jalan penyelesaian.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB (7062689379) atau menghubungi Siti Nur Ain di talian 011-26575357. – KOSMO! ONLINE














