fbpx
SITI Hajartul didakwa atas pertuduhan menipu tempahan barang kemas di Mahkamah Sesyen Alor Setar.

Siti Hajartul tidak mengaku tipu tempahan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menipu berkaitan tempahan barang kemas membabitkan jumlah kerugian RM173,500, dua tahun lalu.

Tertuduh, Siti Hajartul Haini Abd. Hamid, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa menipu seorang wanita berusia 55 tahun dengan memperdaya mangsa dalam urusan tempahan barang kemas yang tidak wujud.

Dia mendorong wanita itu menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM173,500 dalam beberapa transaksi ke akaun Maybank milik tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Mani dalam mukim Belimbing Kanan di Padang Terap, dekat sini sejak 2 Jun 2024 hingga 16 Ogos 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM190,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dihadapi.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ku Nur Farahi Eliana Ku Abd Razak merayu mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana anak guamnya tidak bekerja dan ditanggung suami yang bekerja kampung serta menyara empat anak dan ibu mentua.

Ku Nur Farahi memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh yang sebelum ini didakwa di Kuala Lumpur dan Putrajaya hadir dalam prosiding tersebut tanpa gagal sehingga penyelesaian kes sebelum ini.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Sharmila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sharmila turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 23 Oktober 2024, polis mengesahkan telah menahan Siti Hajartul Haini di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang bersama empat individu lain berhubung kegiatan penipuan emas dikenali ‘Pa Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN