KUALA SELANGOR – Kehilangan seorang lelaki warga emas berkerusi roda sejak kelmarin terungkai selepas ditemukan lemas di sungai Jeti Batu 7 1/2 di sini, hari ini.
Mayat mangsa, P. Ravi, 63, yang dipercayai terjatuh dari Sungai Kampung Kuantan itu dijumpai bomba pukul 8.30 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.09 malam kelmarin.
Jelasnya, sepasukan 13 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang dan Unit Anjing Pengesan (K9) terlibat dalam operasi itu.
“Usaha pencarian dilakukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menerusi kaedah penyelaman di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Selain itu, pasukan Unit K9 membuat pencarian di kawasan berkenaan sejauh satu kilometer bagi mengesan mangsa,” katanya hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, mayat mangsa kemudian ditemukan terapung dengan jarak kira-kira 5.5km dari lokasi terakhirnya pagi ini. – KOSMO! ONLINE














