JERANTUT – Laungan azan yang berkumandang di tebing Sungai Pahang seakan menjadi detik penuh makna apabila seorang daripada dua remaja yang dikhuatiri lemas sejak petang semalam akhirnya ditemukan petang tadi.
Mangsa, Muhammad Daneal Haikal Shamsudin, 14, ditemukan pada pukul 4.20 petang, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, penemuan mangsa hasil usaha berterusan pelbagai agensi bersama penduduk kampung yang tidak putus membantu sejak semalam.
“Penemuan ini sedikit sebanyak melegakan keluarga mangsa yang menunggu penuh debar sejak petang semalam,” katanya di sini, hari ini.
Suasana di lokasi bertukar pilu apabila ahli keluarga serta penduduk kampung tidak dapat menahan sebak sebaik mayat mangsa dibawa naik ke darat.
Lebih menyentuh hati, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, sempat melaungkan azan kira-kira pukul 4 petang sebagai ikhtiar memohon dipermudahkan urusan pencarian.
“Saya laungkan azan sebagai ikhtiar. Alhamdulillah, tidak lama kemudian salah seorang mangsa berjaya ditemukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keadaan Sungai Pahang yang kelihatan cetek ketika musim panas sebenarnya menyimpan bahaya tersembunyi, termasuk risiko pasir jerlus serta arus deras akibat hujan di kawasan hulu.-KOSMO! ONLINE.














