fbpx
Penduduk meninjau lokasi seekor biri-biri dibaham harimau kumbang berhampiran kuarters Hospital Gua Musang semalam.

Harimau mengganas di kuarters hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seekor harimau kumbang menceroboh masuk ke kuarters Hospital Gua Musang di sini kelmarin, sebelum membaham seekor biri-biri yang ditambat pada sebatang pokok di kawasan tersebut.

Muhamad Afiq Fahmi Md. Zuhaidi, 29, berkata, dia baru membeli biri-biri itu empat hari lalu sebagai persediaan untuk sam­butan Aidilfitri bersama rakan sekerja di hospital itu.

Katanya, perancangan itu bertukar duka apabila haiwan ternakan itu ditemukan mati dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai diserang harimau kumbang.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi oleh seorang jiran yang tinggal di kuarters sama. Sebelum kejadian, kira-kira pukul 10 malam kelmarin, biri-biri itu masih berada di tempat ia ditambat kira-kira 10 meter dari rumah.

“Saya terkejut melihat bangkai biri-biri yang masih ada bahagian kepala dan tulang rusuk. Apabila saya datang semula pagi ini (semalam), semuanya sudah tiada. Saya percaya harimau itu datang kembali untuk menghabiskan sisa,” katanya.

Seorang penghuni kuarters, Mohd. Helmiey Shudi Hussin, 42, berkata, ia merupakan kejadian yang pertama berlaku sepanjang enam tahun dia menetap di situ.

Katanya, penduduk kuarters bimbang dengan keselamatan mereka selepas kejadian itu.

“Kami risau terutama ke­selamatan anak-anak yang bermain di luar rumah. Tambahan pula kawasan ini berhampiran gua yang mungkin menjadi habitat binatang buas,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN