MANCHESTER – Pemain legenda Manchester United, Rio Ferdinand menamakan empat pemain yang sepatutnya dibawa masuk ke Old Trafford musim depan untuk terus mengukuhkan prestasi pasukan itu.
Menurutnya, United perlu memberi keutamaan dengan membawa masuk dua pemain di bahagian tengah, seorang penggempur baharu serta satu pemain yang mampu beraksi dengan baik di posisi pertahanan tengah.
Ketika ini, banyak pemain dikaitkan dengan United untuk menggantikan Casemiro yang bakal meninggalkan pasukan itu, manakala Manuel Ugarte juga bakal dibenarkan untuk mencari kelab baharu.
“Jika saya memiliki kuasa, saya akan pergi mendapatkan empat pemain, dua daripada mereka mestilah berstatus pemain utama yang mampu berada dalam kesebelasan utama.
“Keutamaannya adalah dua pemain tengah, satu pemain berpengalaman dan satu lagi mungkin pemain muda. Pemain itu mestilah mampu memberikan sokongan kepada Bruno Fernandes dan Kobbie Mainoo.
“Saya juga akan cuba mendapatkan penyerang yang muda sebagai sokongan, manakala seorang lagi di posisi pertahanan tengah. United tidak perlukan perubahan besar, tetapi perubahan itu perlu realistik,” katanya.
Antara pemain tengah dikaitkan dengan United ketika ini adalah Sandro Tonali serta Bruno Guimaraes dari Newcastle United serta pemain Nottingham Forest, Elliot Anderson.
Bagaimanapun, Ferdinand mengakui sekiranya perlu membuat pilihan, beliau lebih cenderung untuk mendapatkan khidmat Anderson kerana memiliki karakter, dinamik serta memiliki kekuatan untuk memacu pasukan. – AGENSI














