KUALA LUMPUR – Seorang wanita dilaporkan cedera di tangan dan muka selepas tergelincir jatuh ke landasan transit aliran ringan (LRT) stesen Abdullah Hukum petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.19 petang berkaitan mangsa tersepit.
Katanya, seramai sembilan anggota beserta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada pukul 6.24 petang, didapati seorang wanita berusia 39 tahun jatuh dan tersepit di bawah LRT,” katanya.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata, mangsa mengalami kecederaan di tangan dan muka berjaya dikeluarkan pada pukul 6.38 petang dan diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat mengenai insiden tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah mangsa tergelincir sendiri ketika menunggu LRT.
Dalam masa yang sama, Rapid Rail dalam kenyataan juga memaklumkan perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa.
“Perkhidmatan tren alternatif telah ditamatkan. Waktu menunggu tren akan menjadi sedikit lama sementara kekerapan sedang diselaraskan,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan pengguna LRT stesen Abdullah Hukum gempar susulan seorang individu disyaki terjatuh di kawasan landasan petang ini.
Menerusi beberapa hantaran tular di Threads, orang ramai memaklumkan kejadian itu menyebabkan suasana di stesen berkenaan menjadi cemas, selain perkhidmatan tren dipercayai terpaksa dihentikan seketika.
Berdasarkan perkongsian pengguna media sosial, mangsa dilaporkan masih hidup ketika ditemui dan berada dalam keadaan duduk serta tidak banyak bergerak sementara menunggu bantuan tiba.- KOSMO! ONLINE














