PETALING JAYA – Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital boleh meningkat sekitar 30 hingga 50 peratus selepas musim perayaan dengan golongan rentan dan dewasa merupakan kumpulan paling ramai terjejas.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, lonjakan pesakit selepas hari raya adalah fenomena biasa dilihat saban tahun akibat perubahan pola pemakanan sehingga menyebabkan kesesakan berlaku di hospital.
“Bagi warga emas dan pesakit kronik, hidangan raya yang kaya dengan gula, garam, dan lemak adalah ‘pencetus’ utama kepada komplikasi kesihatan serius.
“Penyakit yang paling kerap dirawat adalah gangguan metabolik seperti diabetes dan hipertensi, diikuti masalah pencernaan seperti cirit-birit dan muntah,” katanya.
Susulan itu, beliau menyarankan supaya masyarakat berusaha untuk mengawal selera ketika meraikan Aidilfitri dengan mengamalkan pemakanan seimbang.
“Kawal selera dan amalkan pemakanan seimbang contohnya menerusi teori suku-suku-separuh selain memastikan rehat yang cukup, dan kekal aktif walaupun sibuk.
“Amalkan kawalan porsi, minum air kosong secukupnya, teruskan aktiviti fizikal, dan jangan lupa dapatkan pemeriksaan kesihatan selepas raya,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menyarankan supaya tuan rumah memainkan peranan dalam menyediakan juadah yang lebih sihat kepada para tetamu.
“Tuan rumah boleh memainkan peranan besar dengan menyediakan pilihan menu lebih sihat.
“Utamakan masakan yang kurang bersantan atau rendah gula dan sediakan air kosong atau buah-buahan demi kesihatan bersama,” ujarnya.














