fbpx
Antara kenderaan diesel yang masih tidak terjual di premis milik Ayub di Kota Bharu.

Harga pikap turun, tapi tetap tak laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jualan ken­deraan diesel seperti pikap dan van merudum sejak awal tahun ini susulan lonjakan harga bahan api itu yang kini naik kepada RM6.02 seliter.

Kebanyakan pengusaha kini berdepan situasi sukar apabila kenderaan diesel yang sebelum ini menjadi pilihan pengguna, namun sekarang sepi tanpa pembeli.

Seorang pengusaha ken­deraan terpakai Pak Ayub Auto, Ayub Hassan, 48, dari Kota Bharu berkata, permintaan terhadap kenderaan diesel hampir ‘mati’ dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Walaupun kita sudah turun­kan harga jualan, trak pikap ini tetap tidak laku.

“Sekarang ada lima buah trak pikap di kedai saya yang sudah berbulan-bulan tidak bergerak. Pelanggan memang tidak berminat langsung dengan kenderaan diesel,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, sebagai contoh, Mitsubishi Triton keluaran di antara tahun 2008 hingga 2015 sekarang ada yang dijual sekitar RM18,500.

Katanya, Toyota Hilux juga menunjukkan penurunan harga berbanding tahun lepas.

“Dahulu boleh dijual pada harga lebih RM30,000, sekarang turun sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja” katanya.

Menurutnya, model lain se­perti Ford Ranger dan van diesel termasuk Kia juga berdepan nasib sama apabila sukar menarik minat pembeli walaupun harga telah diturunkan beberapa kali.

Katanya, situasi itu turut menjejaskan aliran masuk stok apabila pemilik kenderaan diesel sendiri enggan menjual aset mereka pada harga rendah.

“Ramai yang rasa rugi untuk jual sekarang sebab harga jatuh. Jadi bekalan kenderaan diesel terpakai pun tidak banyak, tetapi permintaan pun memang tiada,” ujarnya.

Seorang lagi pengusaha yang dikenali Lim, 52, dari Raub turut mengakui trend sama berlaku di premisnya.

Katanya, pengguna kini lebih cenderung memilih kenderaan bersaiz kecil dan menjimatkan bahan api berbanding kenderaan diesel yang membebankan kos operasi.

“Sekarang orang cari kereta seperti Perodua Axia, Viva atau Myvi. Itu yang cepat laku.

“Harga kereta berenjin kapasiti kecil ni masih seperti biasa, tidak naik. Kalau Axia terpakai ada harga belasan ribu hingga RM20,000, ikut kepada kondisi dan tahun dibuat.

“Kenderaan diesel langsung tiada permintaan. Saya sendiri tidak berani ambil stok baharu seperti trak pikap kerana bimbang tidak terjual sampai hujung tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN