KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Madani Mart pertama cawangan Indera Mahkota 8 di sini sebagai antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Pengurus Operasi Madani Mart, Lutfi Mohd. Arifin berkata, inisiatif oleh Yayasan Madani itu merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.
“Pendekatan ini menekankan prinsip keterjangkauan, kebolehcapaian dan keadilan harga, selaras aspirasi Ekonomi Madani serta nilai-nilai teras Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
“Melalui strategi pembelian pukal dan kerjasama bersama pengedar, Madani Mart menawarkan pelbagai barangan asas termasuk beras, minyak masak, gula, tepung, barangan sejuk beku serta produk penjagaan diri pada harga yang lebih kompetitif.
“Inisiatif ini turut membuka peluang kepada usahawan tempatan melalui model pelesenan yang komprehensif. Yayasan Madani bertindak sebagai pemberi lesen dengan menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi latihan, bimbingan dan bantuan operasi bagi memastikan setiap premis beroperasi secara cekap dan mampan,” katanya pada majlis perasmian Madani Mart oleh Perdana Menteri di sini hari ini.
Menurut Lutfi, bagi memperluas capaian, Yayasan Madani menyasarkan sekurang-kurangnya satu Madani Mart di setiap kawasan DUN, dengan sasaran minimum 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun. – KOSMO! ONLINE














