Terdapat kisah seorang alim yang teringin membuat dosa. Selepas berpuluh tahun dia beribadat, tetapi disebabkan satu bisikan syaitan telah ‘mencederakan’ kesemua amalannya.
Dia terfikir untuk membunuh tetapi dosanya terlalu besar. Dia mahu pula membuat maksiat dan apabila memikirkan dosanya, dia membatalkan hasrat tersebut.
Kemudian bisikan jahat menyuruhnya meminum arak kerana dosanya lebih kecil berbanding dua tadi. Tetapi apa yang terjadi lain pula ceritanya.
Selepas dia meneguk arak, orang alim itu bukan sahaja mabuk, malah dia turut melakukan maksiat dengan pelacur sebelum membunuh wanita itu bagi menutup jejak jahatnya.
Niat asal hendak membuat satu dosa, tetapi selepas hilang pertimbangan disebabkan mabuk, orang alim tersebut melakukan tiga dosa sekali gus. Minum arak, maksiat dan membunuh.
Arak memang diketahui sebagai ibu segala kejahatan kerana membuatkan fikiran dan akal manusia menjadi tidak tentu hala kerana mabuk serta khayal.
Kesan buruk arak ini bukan sahaja membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan, malah boleh mengakibatkan kematian orang lain sekiranya si pemabuk memandu atau menunggang kenderaan.
Peminum arak dan penagih dadah adalah dua golongan yang diharamkan untuk memandu kenderaan ketika khayal dan mabuk.
Kalau kita tanya ChatGPT senarai orang yang mati dilanggar pemandu mabuk, ia boleh memberi maklumat lengkap kepada kita berserta, nama, pelaku, lokasi, tarikh dan masa kejadian.
Apa yang dikesalkan, sampai bila kita hendak melihat orang kehilangan anak, suami, bapa dan ketua keluarga akibat salah orang lain.
Lihatlah apa yang terjadi kepada seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang baru-baru ini. Allahyarham meninggal dunia dalam keadaan tragis apabila melambung sebelum terhempas di atas bumbung kereta selepas dirempuh pemandu mabuk.
Sememangnya kita patut marah dengan kejadian itu. Kalau boleh, kita mahu pemandu mabuk itu dikenakan hukuman paling berat kerana telah menyebabkan kematian ketua sebuah keluarga.
Siapakah sebenarnya yang bersalah? Pembeli, penjual atau pihak yang mengeluarkan lesen urusniaga arak? Jika tiada penjual maka tiada pembeli dan jika tiada pembeli sudah tentu orang tidak menjual.
Apa untungnya minum arak? Jawapannya tiada. Orang yang untung hanyalah tauke kedai dan pengusaha kilang minuman keras.
Jika kilang mercun di Sungai Buloh terus ditutup dan diharamkan selepas ia mengorbankan 26 nyawa dalam letupan pada 1991, mengapa kilang arak masih lagi beroperasi selepas begitu banyak orang mati kerananya?
Ladang babi pun boleh dibatalkan, takkan kilang arak tidak boleh ditutup. Sudah tiba masanya kerajaan perlu bertindak segera bagi menangani isu ini.
Semua orang marah. Selain arak, isu yang buat orang marah minggu ini ialah minyak. Bukan Malaysia sahaja, bahkan satu dunia. Lagi membuatkan keadaan kacau bilau bila ada pihak sebar berita palsu mengenainya.














