SEGAMAT – Seorang pemandu treler berusia 28 tahun ditahan selepas disahkan positif dadah jenis methamphetamine, susulan kemalangan maut yang meragut tiga nyawa di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru–Seremban petang semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian melibatkan tiga kenderaan itu berlaku kira-kira pukul 3.45 petang mengorbankan tiga mangsa yang menaiki sebuah van, manakala dua lagi penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan awal mendapati treler dipandu suspek telah melanggar bahagian belakang sebuah van yang dinaiki mangsa. Akibat pelanggaran itu, van berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemandu treler dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua lagi penumpang van dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














