PETALING JAYA – Agrobank akan melaksanakan kaedah kerja fleksibel secara berperingkat bermula Mei 2026, sebagai langkah proaktif dalam mendepani cabaran susulan ketidaktentuan tenaga global.
Melalui pendekatan itu, warga kerja diberi fleksibiliti untuk memilih lokasi kerja yang lebih berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing, termasuk melalui pelaksanaan konsep Bekerja Berhampiran Rumah (BBR) secara penggiliran, tanpa menjejaskan kesinambungan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Menurut Agrobank dalam satu kenyataan, pihaknya akan mengoptimumkan sebanyak 219 rangkaiannya di seluruh negara dengan mengenal pasti beberapa lokasi sebagai cawangan satelit bagi menyokong pelaksanaan kaedah kerja fleksibel.
“Bagi menyokong pelaksanaan ini, Agrobank akan menyediakan kemudahan dan kelengkapan kerja yang bersesuaian di cawangan-cawangan terpilih bagi memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan produktif.
“Langkah ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyokong usaha kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga serta mengurangkan impak kos kepada rakyat dan organisasi, di samping memperkukuh amalan kerja yang lebih fleksibel, mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Tambahnya, Agrobank akan terus memantau dan menilai pelaksanaan ini dari semasa ke semasa, selaras dengan perkembangan semasa serta keperluan operasi bank. – KOSMO! ONLINE














