fbpx
Fakhrul Iman ketika hadir ke pejabat Asyraf Wajdi hari ini.

Anak penjual pisang goreng dapat 11A+ ditawarkan ke Jordan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kisah kejayaan seorang pelajar yang memperoleh 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuka lembaran baharu apabila ditawarkan menyertai program khas ke Jordan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Fakhrul Iman Zainudin, 18, yang merupakan anak penjual pisang goreng hadir ke pejabatnya bersama ibu bapanya bagi meneroka peluang pembiayaan pelajaran.

Katanya, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan itu turut memiliki kelebihan sebagai hafiz al-Quran.

“Melihat slip keputusan (SPM), saya amat teruja dan mencadangkan beliau masuk program khas ke Jordan yang disediakan Mara kepada pelajar tahfiz cemerlang untuk mendalami bidang syariah, pengkhususan Ekonomi dan Kewangan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman dalam bidang berkenaan bagi membuka perspektif Fakhrul Iman agar tidak hanya tertumpu kepada bidang syariah semata-mata.

Katanya, kepakaran dalam kewangan Islam amat diperlukan kerana Malaysia merupakan antara peneraju industri perbankan dan kewangan Islam di peringkat global.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada remaja itu agar tidak melupakan jasa ibu bapanya yang berjaya membesarkannya hasil jualan pisang goreng.

“Insya-Allah apabila berjaya, jangan lupa jasa ibu bapa yang memerah keringat membesarkan Fakhrul. Dengan ilmu, kehidupan keluarga boleh diubah dengan izin Allah,” ujarnya.

Dalam pertemuan santai itu, Asyraf Wajdi sempat menguji hafazan al-Quran sebelum mempertimbangkan permohonan Fakhrul Iman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN