IPOH – Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dirempuh motosikal ketika melintas di Jalan Kampar berhampiran sebuah pasar raya, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia 67 tahun cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, ketika kejadian penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menghala ke Ipoh melalui Jalan Kampar.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang motosikal berusia 42 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
“Akibatnya, kedua-dua mereka mengalami kecederaan, namun pejalan kaki yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat, manakala penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Jabatan Kecemasan hospital sama untuk rawatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 05-2451537 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














