MELAKA – Makanan yang disahkan tercemar dengan unsur najis mughallazah termasuklah disebabkan penggunaan berus diperbuat daripada bulu babi tidak boleh digunakan sama sekali, sama ada untuk dimakan atau diproses.
Pensyarah (Pengajian Islam) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space Kuala Lumpur, Syed Husaini Syed Hassan, berkata, keadaan tersebut menyebabkan status makanan tercemar berubah menjadi haram dan wajib dielakkan oleh umat Islam.
“Apabila sesuatu makanan telah disahkan secara yakin dan terbukti secara saintifik atau penyaksian yang adil telah tercemar dengan najis mughallazah (babi), maka statusnya berubah menjadi mutanajjis.
“Namun jika dakwaan pencemaran hanya bersifat telahan, khabar angin, atau sangkaan semata-mata tanpa bukti nyata maka hukum asal makanan tersebut kekal harus. Keadaan ini selaras dengan prinsip fiqh: “keyakinan tidak boleh digugurkan oleh keraguan” (al-yaqinu la yuzalu bisy-syakk),” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, pendekatan itu adalah bagi memastikan umat Islam tidak terbeban dengan spekulasi yang tidak berasas dan tetap mengekalkan prinsip kesucian makanan.
Tambahnya, bagi individu yang masih ragu-ragu walaupun tiada bukti fizikal, keadaan itu dikategorikan sebagai syubhah.
“Dalam mendepani isu-isu kontemporari yang menyentuh sensitiviti halal dan haram, umat Islam dituntut untuk menjauhi perkara syubhah (perkara yang samar-samar atau meragukan).
“Apabila timbul keraguan yang berasas terhadap integriti kesucian sesuatu produk, tindakan meninggalkan perkara tersebut adalah lebih utama (awla) sebagai langkah ihtiyat i(berwaspada),” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














