DUBAI – Rakyat Iran dihalang memasuki Emiriyah Arab Bersatu (UAE) melainkan diberi pengecualian, kata syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, manakala agensi pelancongan melaporkan penolakan visa yang tinggi untuk mereka sejak perang Asia Barat bermula.
Sekatan itu menggambarkan kemerosotan hubungan antara Tehran dan Abu Dhabi, lebih sebulan selepas serangan ke atas rantau Teluk memberi kesan lebih teruk terhadap UAE berbanding negara-negara lain.
Emirates dan flydubai menyatakan di laman web masing-masing bahawa warga Iran dilarang memasuki UAE.
“Warga Iran tidak dibenarkan masuk dan untuk transit,” kata Emirates dan flydubai di laman web mereka.
Pengecualian diberikan kepada mereka yang merupakan pasangan kepada rakyat UAE, anak-anak wanita negara itu atau atlet, eksekutif bank, doktor, keluarga, jurutera, pelabur, profesional kanan atau peniaga.
Flydubai berkata, pemegang visa emas juga akan dibenarkan masuk.
AFP bercakap dengan beberapa agensi pelancongan berpangkalan di UAE yang melaporkan kadar penolakan tinggi untuk pemohon visa Iran dalam beberapa minggu sejak perang bermula.
Sebuah agensi pelancongan berkata, mereka telah menerima arahan rasmi untuk tidak menerima sebarang permohonan visa bagi warga Iran.
Komuniti Iran di UAE memberitahu AFP bahawa sekatan itu baru dilaksanakan.
Serangan balas Iran mendorong Abu Dhabi untuk menutup kedutaannya di Tehran dan memanggil semula dutanya. Pada masa sama, entiti yang dikaitkan dengan Iran, termasuk hospital, sekolah dan pusat komuniti telah ditutup di Dubai. – AFP














