fbpx
Tiga premis diserbu JKDNKA di sekitar Kampung Baru Subang, semalam.

Sindiket makanan sejuk beku tumpas, RM1.55 juta ayam, babi dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan rangkaian sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku dipercayai aktif di Lembah Klang dalam Op Taring Chiller semalam.

Operasi bermula pukul 10.50 pagi itu dilaksanakan pasukan Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, serbuan dilakukan ke atas tiga premis di Kampung Baru Subang.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 34 tan karkas babi, 97 kotak daging ayam sejuk beku yang tidak mempunyai sijil halal, tiga buah lori dan tiga alat penimbang.

“Nilai rampasan daging sejuk beku ayam dan babi dianggarkan berjumlah RM1.55 juta, manakala kenderaan (RM353,000) dan penimbang (RM2,700) menjadikan keseluruhan sebanyak RM1.91 juta. Sampel makanan dirampas untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi tersebut turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Veterinar Selangor, Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Mohd. Zaki berkata, pihaknya menahan seramai 32 individu terdiri daripada pengurus, majikan dan pekerja yang merupakan dua rakyat tempatan, manakala selebihnya adalah warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

Kesemua tangkapan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sungai Buloh untuk siasatan dan tindakan selanjutnya di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Bagi makanan sejuk beku, katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2012 selain Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia 2020 di bawah Klausa 32 (2)(a).

“KKM mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,500 bagi kesalahan lantai rosak dan kotor di bawah Akta Makanan 1983 selain gagal mengemukakan rekod latihan pengedalian makanan semasa pemeriksaan dijalankan.

“Pihak KPDN pula melakukan siasatan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972, sementara LHDN di bawah Seksyen 112 ACP1967,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN