PETALING JAYA – Tindakan seorang anggota polis trafik berkongsi situasi mengalihkan sebuah tong besar yang terjatuh di tengah lebuh raya mencuri perhatian ramai selepas video tersebut tular di TikTok.
Menerusi video yang dimuat naik pengguna @amaraisyh, sebuah tong air besar kelihatan berada di tengah laluan, sekali gus mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.
Pengguna tersebut yang juga anggota polis trafik turut berkongsi cara selamat untuk memberhentikan kenderaan di lebuh raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Katanya, biasanya anggota hanya melintas untuk melakukan sekatan atau ‘tembak laju’ (perangkap kelajuan), namun kali ini dia menunjukkan teknik untuk memperlahankan kenderaan sebelum mengalihkan halangan tersebut.
“Selalu kita melintas untuk buat ‘tembak laju’, hari ini kita tunjuk cara nak memberhentikan kenderaan yang laju di lebuh raya. Siapa punya tong air yang tercicir ini,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai memuji tindakan pantas anggota beruniform tersebut yang mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya selain menyifatkan perkongsian itu sebagai ilmu berguna kepada orang ramai.
“Risau betul tengok, siap doa jangan ada ‘superbike’ laju lalu. Semoga semua dilindungi oleh-Nya,” kata @HyattGhapa.
“Terima kasih kepada anggota yang memudahkan pengguna jalan raya lain. Semoga Allah sentiasa permudahkan urusan tuan,” balas Vivian77.
“Alhamdulillah bang. Terbaik, semoga sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki,” kata Muhammad. – KOSMO! ONLINE
@amaraisyh selalu kita melintas untuk buat tembak laju..harini kita tunjuk cara2 nak nk berhentikan kenderaan yg tgh laju di higway..sape punya pulak tong air yang tercicir ni #fyp #trafiklebuhraya #SNIPERLEBUHRAYA #hatihatimemandu #empvzonselatan ♬ original sound – Papa Pipi Zola














