SHAH ALAM – Kerajaan bersedia memberikan khidmat kaunseling dan psikologi berkaitan agama kepada balu dan anak-anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh pemandu kereta dipercayai mabuk dan khayal dadah di Klang, Ahad lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya memahami situasi dihadapi keluarga mangsa terutama isteri Allahyarham, Nur Nadia Abdul Majid, 32.
Katanya, kementeriannya menerusi agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama islam negeri menawarkan kaunseling termasuk kepada keluarga mangsa kemalangan maut.
“Kita mempunyai banyak kaunselor yang boleh membimbing dan memberikan nasihat dari aspek agama. Justeru, kita akan membantu memberikan kekuatan dan ketenangan kepada balu dan anak-anak arwah,” katanya ketika ditemui di rumah Nur Nadia di Pangsapuri Ken Rimba di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan wang dan bantuan persekolahan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan TV AlHijrah.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang pembantu makmal yang memandu dalam keadaan mabuk dan khayal sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu, didakwa atas pertuduhan membunuh di mahkamah.-KOSMO! ONLINE.














