fbpx
Antara pengguna jalan raya yang diperiksa polis dalam Ops Alkohol dan Pencegahan Jenayah baru-baru ini.

Kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk meningkat sejak 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kes kemalangan maut yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah menunjukkan peningkatan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 27 kes kemalangan maut dicatatkan pada 2024, manakala 31 kes direkodkan pada tahun lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, meskipun ia tidak terlalu ketara, namun setiap kes membawa implikasi serius terhadap kehilangan nyawa dan tidak boleh dipandang ringan.

“Kes-kes sebegini sebenarnya berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan. JSPT melihat isu ini dengan penuh keprihatinan dan serius.

“Cabaran utama yang dihadapi bukan sahaja dari segi penguatkuasaan di lapangan, malah lebih kepada membentuk kesedaran, tanggungjawab dan nilai moral dalam kalangan pemandu jalan raya,” katanya.

Menurut beliau, operasi sekatan jalan raya (SJR) dan ujian saringan secara rawak merupakan antara pendekatan efektif untuk membendung gejala pemandu mabuk.

“Pelaksanaan SJR dan ujian rawak terbukti berkesan, kerana ia bukan sahaja membolehkan pengesanan pesalah secara terus, malah memberi kesan pencegahan psikologi (deterrence effect) kepada pengguna jalan raya.

“Kehadiran pihak berkuasa secara konsisten di lokasi dan waktu berisiko tinggi juga dapat meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang,” katanya.

Mohammed Hasbullah menambah, JSPT akan terus mempertingkatkan operasi SJR terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Selain itu, operasi khas bersepadu bersama agensi lain akan dipergiatkan bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dan berimpak tinggi,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN