PUTRAJAYA- Seorang Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Timbalan Ketua Pengarah jabatan itu dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung siasatan kes berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, jangkaan pertuduhan itu dibuat selepas pihaknya menerima persetujuan daripada pihak pendakwa raya dan Peguam Negara.
“Berhubung kes Jabatan Alam Sekitar, persetujuan pihak pendakwa raya dan Peguam Negara telah diperolehi dan dijangka pertuduhan esok terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan.
“Jadi, harap tidak ada pembatalan perkara ini dan mereka akan dituduh di mahkamah esok sekiranya tidak ada kesulitan,” katanya pada pemberita ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di sini tadi. – KOSMO! ONLINE














