PUTRAJAYA- Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) merekodkan sebanyak 3,523 tangkapan antara 2023 hingga 2025, sekali gus mencerminkan keupayaan membanteras jenayah rasuah dan kewangan secara bersepadu.
Ketua Pesuruhjayanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan tangkapak itu dibuat meliputi kes berprofil tinggi seperti Ops Samba 2.0, Ops Taufan, Ops Yellow, Ops Counter Setting dan Ops Bunga.
“Kejayaan membongkar sindiket terancang berskala besar seperti Ops White, Ops Kingfruit, Ops X, Ops Sikaro, Ops Metal, Ops Karen dan Ops Grip turut membuktikan pendekatan MATF mampu menembusi rangkaian jenayah kompleks, tersusun dan merentasi pelbagai sektor.
“Daripada aspek pemulihan aset, pada tahun 2025 sahaja, SPRM sendiri telah merekodkan sitaan mencecah RM6.87 bilion selain pembekuan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian.
“Secara keseluruhannya ia melibatkan nilai yang besar dan memberi impak langsung kepada hasil negara. Ini adalah mesej jelas bahawa setiap hasil diseleweng akan kita jejaki dan kembalikan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Libat Urus MATT: Way Forward di Ibu Pejabat SPRM di sini tadi.
Sementara itu, bercakap mengenai mafia korporat, Azam berkata, aktivit itu bukan beroperasi secara terbuka, tetapi bergerak secara tersusun menggunakan struktur korporat yang sah.
“Ia untuk mengaburi penguatkuasa, disokong oleh rangkaian profesional seperti akauntan, peguam, perunding dan orang dalam agensi tertentu.
“Mereka ini bukan sahaja melindungi aktiviti haram, namun memanipulasi struktur korporat, membersihkan wang haram serta memanipulasi sistem untuk memastikan jenayah terus berlaku tanpa dikesan,” katanya.
Dalam pada itu, Azam menjelaskan, isu e-waste juga bukan sekadar masalah alam sekitar sahaja, sebaliknya merupakan jenayah ekonomi dan kedaulatan negara.
“Begitu juga dengan kes-kes seperti penyeludupan diesel (Ops Karen) dan penyeludupan tayar(Ops Grip), aktiviti ini menyebabkan ketirisan hasil cukai mencecah ratusan juta ringgit,” katanya.
Menurut Azam, apa yang dibongkarkan ketika ini disifatkan sebagai ‘tip of the iceberg’ sahaja berikutan terdapat banyak sindiket, rangkaian dan aktiviti yang belum dikesan sepenuhnya.
“Inilah sebabnya saya katakan bahawa isu ini menjadi barah dalam sistem negara.
“Jika tidak ditangani secara agresif dan bersepadu, ia akan menghakis hasil negara, merosakkan integriti institusi dan melemahkan ekonomi secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














