SUNGAI Temir merupakan salah satu cabang sungai yang termasuk dalam jajaran Sungai Terengganu, bermula dari Tasik Kenyir hingga ke Muara Kuala Terengganu.
Sungai ini terletak lebih kurang 7 kilometer (km) dari Stesen Jana Kuasa Elektrik Sultan Mahmud di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan lebih kurang 10km dari pusat bandar Kuala Berang.
Di sungai ini, saya dan rakan seperjuangan telah menaikkan pelbagai spesies ikan pemangsa seperti sebarau, toman dan kerandang yang bersaiz padu.
Sungai ini dapat diakses melalui jalan besar dan ia tidaklah sukar untuk sampai ke sini.
Namun, cabaran sebenar adalah untuk mencari kawasan yang sesuai menurunkan bot.
Bagi memudahkan urusan, kami menurunkan bot berhampiran Jambatan Pueh yang tebingnya landai dan ada satu paloh terlindung dari arus deras.
Bot yang menjadi pilihan kami pula adalah jenis kecil dan langsing seperti scanoe Pelican yang cukup ringan serta boleh diangkat ke atas pacuan empat roda.
Scanoe juga mudah dikendalikan di dalam sungai sebegini. Bagi memacunya, cukup sekadar dipasang enjin elektrik berkekuatan 65lb.
Penggunaan enjin sangkut tidak sesuai kerana dasar sungai ini tidak konsisten kedalamannya.
Gewang dan teknik
Sudah beberapa kali kami terjah sungai ini. Kebiasaannya di awal pagi, kami akan cuba memburu ikan sebarau terlebih dahulu.

Gewang seperti popper saiz tujuh sentimeter (sm) dan minnow bersaiz kecil adalah antara ‘peluru’ ampuh yang biasa digunakan.
Gewang akan dituju ke celah-celah reba kayu dan di kawasan berarus deras yang berdekatan dengan tebing sungai.
Setakat ini, rekod ikan sebarau terbesar yang kami dapat di sini adalah seberat 3.8 kilogram (kg).
Ikan tersebut menyedut popper sebaik sahaja ia melintas di atas timbunan kayu-kayu yang tenggelam di dalam air.
Agak sukar menaikkan ikan tersebut apabila scanoe mula berpusing dek arus deras dan pada masa sama, ia pantas membenam memasuki reba. Namun, rezeki tetap berpihak kepada kami pada hari tersebut.
Bagi memburu toman pula, gewang yang kami gemari di sini adalah soft plastic (SP) saiz besar jenis ekor pendayung (paddle tail).
SP sangat sesuai dimainkan di kawasan bereba banat kerana dapat dipersembahkan secara kalis sangkut (weedless).
Ketepatan lontaran gewang memainkan peranan utama di sini kerana jika tersilap baling, gewang yang tersangkut susah dilepaskan akibat bot turut hanyut akibat arus laju.
Saiz ikan toman yang biasa naik di sini adalah lebih kurang tiga hingga 4kg seekor.
Kerandang atau toman bunga pula merupakan spesies ikan pemangsa yang paling banyak kami dapat di sini. Gewang yang kami gunakan adalah SP lebih kecil.
Lontaran ke celah-celah reba-reba kayu dan rumpair jarang menghampakan.

Berbeza dengan toman yang masih mengejar dan membaham umpan di kawasan berarus, kerandang pula lebih gemar ‘lepak’ di kawasan tenang dan terlindung dari arus utama.
Ikan ini juga sifatnya pemalas, dan hanya akan menyergap SP jika jatuh atau lalu berhampiran dengannya sahaja.
Rekod kerandang kami di sini seberat 2kg, sudah cukup untuk menjadi ‘trofi’ abadi buat kami.
Masa
Waktu terbaik untuk datang ke sini adalah ketika musim panas, kami akan sebolehnya mengelak jika hujan lebat tidak berhenti selama sehari dan air mulai keruh.
Ini kerana kondisi sungai menjadi merbahaya akibat air yang naik mendadak.
Sebarau boleh diburu bila-bila masa sahaja, tetapi peratusan mendapatnya lebih tinggi jika cuaca cantik dan air tidak terlalu jernih atau seperti warna ‘bulu kera’.
Berdasarkan pengalaman, toman kurang aktif apabila paras air sungai terlalu rendah.
Selalunya, ia lebih gemar bermain di dalam rumput yang ditenggelami air, selain dedaun dan rumput mati terkumpul di tepi pokok-pokok tenggelam.
Waktu terbaik memburu kerandang adalah ketika stesen jana kuasa ditutup dan air tidak dilepaskan.
Ini akan membuatkan paras air menjadi rendah dan arus sungai lebih perlahan, masa inilah ikan kerandang banyak bermain di tepi-tepi tebing.
Pemancing mahu datang ke sini seeloknya mendapatkan khidmat penduduk setempat yang biasa memancing di sini kerana sungai ini dalam dan berarus deras.
Sila amalkan etika ‘tangkap dan lepas’ bagi spesies ikan istimewa seperti kerandang agar populasinya berkekalan di Sungai Temir.














