PETALING JAYA – Sebuah video menyentuh hati memaparkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memperoleh keputusan cemerlang 11A+ mengundang sebak dalam kalangan orang ramai.
Menerusi hantaran tular di TikTok @Tvpss.Smatkem, video itu memaparkan suasana penuh emosi apabila pelajar dikenali sebagai Fakhrul datang mengambil keputusan SPM dengan ditemani bapanya yang bekerja sebagai penjual laksa di dewan sekolah.
Sebaik melihat keputusan yang tertera di slip, remaja itu segera memeluk erat bapanya sambil mengalirkan air mata. Kejayaan Fakhrul memperoleh 11A+ dianggap pencapaian yang luar biasa dan membanggakan.
Menjengah ke ruangan komen, Fakhrul sendiri tampil menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan ucapan tahniah.
“Saya sangat terharu. Dengan peluang ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru yang sentiasa mendorong saya hingga ke saat ini. Tanpa doamu, siapalah saya sekarang,” katanya.
Sementara itu, di Threads, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk membantu pelajar cemerlang tersebut.
“Insya-Allah Mara akan bantu dan mencadangkan beliau masuk program khas pembiayaan pelajar cemerlang ke luar negara atau universiti terkemuka dalam negara dengan pembiayaan penuh oleh Mara,” katanya.
Lebih menarik perhatian, beberapa pengguna media sosial yang mengenali bapa Fakhrul memaklumkan lelaki itu merupakan peniaga gerai laksa dan pisang goreng di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Macam kenal pak cik dengan adik (Fakhrul) ini. Rasanya berniaga tepi jalan jual laksa dan pisang goreng,” kongsi Adrina11.
“Kalau pergi Port Dickson mesti singgah, makanannya sedap dan murah,” kata @Kam4745 pula.
“Ini ye Fakhrul Iman? Nama yang banyak kali saya baca dalam senarai pelajar cemerlang di Negeri Sembilan. Tahniah dik,” kata Syafayunus pula. – KOSMO! ONLINE
@tvpss.smatkem Tahniah Fakhrul Iman atas kecemerlangan 👏🏻 #spm2025 #batch08 #smatkem #straightaplus ♬ original sound – TV PSS SMA TELOK KEMANG














