fbpx
Tangkap layar video tular memaparkan seorang calon SPM 2025, SMA Telok Kemang yang mendapat keputusan cemerlang 11A+ bersama ayahnya.

‘Bila lihat video tular, terbayang segala penat lelah ayah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, di sini melahirkan rasa sayu dan sebak apabila rakaman video dia mengambil keputusan cemerlang 11A+ sambil ditemani ayahnya menjadi tular di media sosial.

Fakhrul Iman Zainudin, 18, berkata, video berkenaan seolah-olah mengimbau kembali segala susah payah ayahnya, Zainudin Abdul Latif, 63, dalam bertungkus-lumus menjual laksa serta pisang goreng di tepi jalan Batu 9, di sini, sejak sebelum dia dilahirkan lagi.

“Saya tidak tahu akan dapat keputusan cemerlang seperti ini tapi saya memang nak balas budi mak, Zarina Sood, 54, serta ayah yang sanggup bersusah payah mencari rezeki buat kami sekeluarga.

“Saya memang mahu kedua-duanya teman saya ambil keputusan, namun, mak tak dapat teman sebab buat persiapan meniaga waktu petang. Bila ayah teman dan keputusannya sangat cemerlang, saya tak dapat nak tahan rasa sebak serta bersandar pada ayah.

“Insya Allah, jika ada rezeki saya sedang memohon untuk mendapatkan tajaan belajar ke luar negara terutamanya Timur Tengah kerana saya berminat untuk menjadi pensyarah aliran agama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan saat-saat sebak seorang anak memeluk ayahnya yang sudah kelihatan berusia selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2025.

Fakhrul Iman yang merupakan tahfiz sejak di tingkatan 3 berjaya mendapat semua A+ dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Prinsip Perakaunan, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz Al-Quran dan Maharat al-Quran.

Lebih manis lagi, anak keempat dari lima beradik berkenaan merupakan calon ketiga terbaik di negeri ini bagi keputusan SPM 2025 berkenaan, manakala, SMA Telok Kemang yang merupakan sekolah aliran tafiz di bawah KPM mencatatkan Gred Purata Sekolah 2.13. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN