LIGA Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia secara rasminya memulakan saingan Musim ke-17 dengan pelancaran visi strategik MLBB Esports Malaysia 2026: MY Time, MY Era yang bertujuan memperkukuh ekosistem e-sukan negara di persada Asia Tenggara.
Majlis pelancaran di Quill City Mall menyaksikan komitmen padu syarikat pembangun permainan video global, MOONTON Games dalam menjalinkan kerjasama dengan badan kerajaan dan peneraju industri.
Selaras dengan aspirasi itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, menegaskan sasaran Malaysia untuk muncul sebagai hab e-sukan utama dunia menjelang tahun 2030 menerusi pemerkasaan Program Pemacu E-sukan Malaysia (MEAP) dan Dana E-sukan KBS (DEK) 2026.
“Saya mengiktiraf MLBB Esports sebagai sukan bertaraf dunia yang membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Selain itu, saya ingin menekankan bahawa peranan e-sukan kini semakin penting dalam pembangunan belia dan ekonomi digital, Malaysia mempunyai aspirasi besar untuk muncul sebagai hab e-sukan utama menjelang tahun 2030,” katanya.
Edisi kali ini turut melakar sejarah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persekutuan E-sukan Malaysia (MESF) dan Persatuan E-sukan Singapura (SGEA).
Kerjasama dwinegara ini bakal membuka ruang buat pemain profesional dari Singapura termasuk pasukan Team Flash untuk bersaing dalam liga Malaysia melalui inisiatif Pasukan Ekspansi.
Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif dalam meningkatkan standard kompetitif serta menyediakan peluang kerjaya yang lebih dinamik.
Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin berkata, memorandum ini mencerminkan komitmen bersama antara Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh pembangunan e-sukan.
“Ini merupakan langkah strategik yang mengukuhkan asas serantau MPL Malaysia sambil membuka peluang bermakna kepada bakat dari Malaysia dan Singapura
“Malaysia sedang diposisikan sebagai hab e-sukan serantau dan kerjasama ini membuktikan kematangan ekosistem e-sukan tempatan serta kesediaannya untuk bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Setiausaha Agung SGEA, Kelvin Tan, berkata, kerjasama dengan MESF menunjukkan bagaimana perkongsian serantau mampu memperkukuh keseluruhan ekosistem e-sukan.
“Pemberian akses kepada pemain Singapura untuk menyertai salah satu liga paling kompetitif di Asia Tenggara membuka laluan pembangunan bakat yang mampan untuk kedua-dua negara.
“Ini mewujudkan persekitaran persaingan yang lebih dinamik yang memberi manfaat kepada pemain, pasukan dan peminat di kedua-dua negara,” katanya.
Selain itu, program perkongsian rasmi yang melibatkan lapan pasukan utama telah diperkenalkan bagi menjamin kestabilan ekosistem profesional dan kebajikan pemain.
Antaranya ialah Selangor Red Giants (SRG), Team Vamos (VMS), Team Rey (TR), Rex Regum Qeon (RRQ), Bigetron MY by VIT (BTRM), All Combo (AC), Invictus Gaming (iG) dan Team Flash (TF).
Untuk rekod, SRG, VMS dan TR adalah tiga wakil Malaysia yang dikekalkan daripada MPL MY Musim 16 pada tahun lalu, manakala RRQ dan BTRM dari Indonesia, iG dan AC dari China serta TF dari Singapura.
Ketua Pembangunan Perniagaan E-sukan Malaysia MOONTON Games, Krystal Tan, menyatakan visi kementerian dan penganjur adalah untuk mengangkat e-sukan sebagai sebahagian daripada budaya nasional yang mampu melahirkan ikon sukan bertaraf dunia.
“Pada ketika ini kita berada di ambang lembaran baharu, kami komited secara menyeluruh untuk membina ekosistem yang lebih profesional dan stabil agar pemain serta pasukan dapat berkembang di pentas global.
“Ini merupakan usaha transformasi untuk memperkasakan landskap e-sukan Malaysia dengan melahirkan juara dan ikon budaya yang melangkaui permainan itu sendiri.
“Visi kami adalah untuk menjadikan e-sukan sebagai permainan nasional yang sebati dalam budaya rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam sidang media tersebut, MOONTON Games turut mendedahkan butiran penting bagi MPL Malaysia Musim 17 termasuk jadual rasmi perlawanan untuk Minggu 1 hingga Minggu 8 musim liga.
Semua perlawanan akan berlangsung di Quill City Mall Convention Centre yang menjadi arena rasmi liga sepanjang musim liga, sekali gus menyediakan lokasi yang mudah diakses untuk peminat menyaksikan aksi perlawanan e-sukan secara langsung dan memberi sokongan kepada pasukan mereka.
MLBB Esports menjanjikan kalendar pertandingan sepanjang tahun yang merangkumi perlawanan secara langsung aktiviti digital dan cabaran komuniti bagi meningkatkan penglibatan peminat.
Dengan menggabungkan keterujaan pertandingan dan pengalaman interaktif, MPL Malaysia terus menetapkan penanda aras sebagai liga e-sukan utama di Malaysia.














