fbpx
HURIN (tengah) menerima pelukan tahniah daripada bapannya, Rahmad dan ibunya, Norpaizah Ahmad selepas mendapat keputusan 9A SPM 2025 di STF, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Anak Rahmad Mega raih 9A, mahu jadi pakar bedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Lahir sebagai anak selebriti terkenal membuatkan seorang pelajar Sekolah Tun Fatimah di sini bersemangat untuk membuktikan mampu membanggakan keluarga dengan meraih 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Lebih membanggakan, Hurin Qazrina Rahmad, 18, anak kepada penyanyi kumpulan Mega, Rahmad atau nama sebenarnya, Rahmad Tohak itu turut tersenarai antara 46 pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF) yang memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan berprestij tersebut.

Menurut Hurin, kejayaan itu hadir hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga serta bimbingan guru yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang tempoh pembelajaran.

“Cabaran memang tinggi, tetapi cikgu sentiasa berpesan supaya saya membanggakan ayah dan keluarga. Itu yang menjadi pembakar semangat saya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan di STF, hari ini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, kejayaan berkenaan didedikasikan khas buat kedua-dua ibu bapanya yang tidak pernah jemu memberi dorongan.

Katanya, pengorbanan keluarga menjadi inspirasi utama untuk terus berusaha mencapai keputusan terbaik.

Dalam pada itu, Hurin berkongsi hasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat asas (foundation) sebelum menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan.

“Saya bercita-cita menjadi pakar bedah. Saya mahu buktikan anak seorang artis juga mampu berjaya dalam bidang profesional jika ada kesungguhan,” ujarnya.

Tambahnya, pesanan guru agar sentiasa menjaga nama baik keluarga dan tidak mensia-siakan pengorbanan ibu bapa akan terus dijadikan pegangan dalam mengejar impian.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN