KULIM – Tindakan sekumpulan individu menceroboh sebuah kilang di Kampung Sungai Seluang, Lunas di sini pada Khamis lalu mengundang padah apabila seramai 11 suspek berjaya diberkas polis dalam beberapa siri tangkapan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kejadian ceroboh itu didakwa berlaku kira-kira pukul 3.16 petang hingga 3.24 petang melibatkan lapan kenderaan yang memasuki kawasan kilang tersebut tanpa kebenaran.
Katanya, pengadu yang merupakan ketua pengawal keselamatan syarikat berkenaan mendakwa dua pengawal bertugas cuba menghalang kemasukan semua kenderaan terbabit, namun tidak diendahkan.
“Kesemua kenderaan tersebut bertindak meluru masuk ke kawasan kilang sebelum membuat satu pusingan di premis dan keluar semula melalui pintu pagar utama. Terdapat juga individu dalam kumpulan itu yang sempat merakam video serta mengambil gambar kawasan kilang,” katanya di sini hari ini.
Zulkifli berkata, susulan kejadian itu, polis menahan lapan lelaki pada Jumaat lalu, diikuti seorang lagi suspek pada keesokan harinya.
“Pada semalam pula, dua lagi individu ditahan termasuk seorang lelaki yang merupakan pengerusi sebuah sekretariat dan seorang wartawan,” ujarnya.
Tambahnya, semua suspek warga tempatan yang ditahan berusia antara 22 hingga 62 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah. – KOSMO! ONLINE














