PUTRAJAYA- Seramai lima orang calon Orang Asli yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya merekodkan keputusan cemerlang apabila memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- untuk semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, selain itu, seorang calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney pula memperoleh semua semua A.
“Bagi Sekolah Tunas Bakti pula, seorang calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya kepujian untuk semua mata pelajaran,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan di sini tadi.
Sementara itu, bercakap mengenai pencapaian calon Orang Asli, Mohd. Azam berkata, seramai 1,769 pelajar layak dianugerahkan Sijil SPM 2025 berbanding hanya 1,527 orang pada 2024.
“Seramai 133 calon pula mendapat sekurang-kurangnya Kepujian iaitu B+,B, C+ dan C untuk semua mata pelajaran, manakala sejumlah 609 calon sekurangnya berjaya lulus,” katanya.
Bagi calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney pula, seramai 99 calon layak dianugerahkan sijil bagi SPM 2025 berbanding hanya 94 calon pada 2024.
“24 calon mendapat sekurang-kurangnya Kepujian, manakala 63 calon mendapat lulus,” katanya. – KOSMO! ONLINE














