PETALING JAYA – Tindakan mencurigakan seorang lelaki warga asing merakam penumpang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berjaya dikesan oleh orang awam, semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Ryumensensei, kejadian itu mula dikesan apabila dia menyedari suspek sedang memegang telefon pintar dalam kedudukan merakam ke arah seorang penumpang wanita.
Kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bertindak menahan suspek dan berjaya melakukan pemeriksaan terhadap telefonnya.
“Nasib baik ada staf Prasarana dan terus cekup pervert (penyumbaleweng) macam ini,” katanya.
“Bahaya betul warga asing ni, macam-macam perangai mereka,” tambahnya lagi.
Rata-rata pengguna turut meluahkan kerisauan terhadap kejadian yang berlaku kerana trauma pernah menghadapi situasi yang sama.
“Ada sekali tu dia record (rakam) aku dan boleh nampak dari cermin tingkap. Terus aku bangun tengok album dia, banyak gambar stranger (orang asing) perempuan Melayu, Cina dan India,” ujar Enamtujuhmakan.
Ada pengguna turut menasihati orang ramai terutamanya golongan wanita agar sentiasa berhati-hati ketika menaiki pengangkutan awam.
“Kalau duduk berhadapan mereka, memang tutup habis letak beg kat depan dan pandang tepi je,” jelas Zurie.Yanna pula. – KOSMO! ONLINE














