PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan selama beberapa jam petang tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.
Menerusi beberapa perkongsian di media sosial, antara lokasi yang terjejas termasuk sekitar Gombak, Kuala Lumpur dan Jalan Mesra, off Jalan Damai, apabila air dilihat melimpah naik dengan pantas sehingga menenggelami sebahagian laluan jalan.
Beberapa gambar dan video yang dikongsikan juga memaparkan kenderaan terpaksa memperlahankan pergerakan untuk meredah air yang memenuhi jalan.
Seorang pengguna media sosial memaklumkan, keadaan banjir kilat kali ini berlaku dalam tempoh singkat susulan hujan lebat selama dua hingga tiga jam sahaja.
“Di sekitar Gombak, Kuala Lumpur dan Selangor, hujan dua tiga jam air terus melimpah. Banjir kilat, adoi seram sejuk juga, takut kereta mati,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna @Afifezanee turut meluahkan kebimbangan terhadap masalah sama yang didakwa berulang setiap kali hujan lebat melanda kawasan perumahan Jalan Damai.
“Bila hujan lebat je naik air, tiada penyelesaian ke? Nak laporkan pada siapa? Lokasi Jalan Mesra off Jalan Damai,” tulisnya.
Sementara itu berdasarkan Info Trafik KL, air bertakung di beberapa jalan menyebabkan rata-rata pemandu memperlahankan kenderaan mereka sekali gus menyebabkan trafik dilaporkan agak sesak.
Antara jalan yang dinaiki air adalah Jalan Cochrane dan Jalan Tun Razak. – KOSMO! ONLINE














