PETALING JAYA – Permintaan sederhana seorang penghantar makanan yang hanya mengharapkan doa untuk anaknya menyentuh hati ramai.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, Ehhfieyra, penghantar makanan berkenaan tidak meminta sebarang tip atau bantuan kewangan, sebaliknya hanya memohon agar pelanggan mendoakan anaknya yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
“Masa ‘order’ makanan dekat grab, abang ‘rider’ tu minta satu saja, tolong doakan untuk anak dia. Tak mampu tolong banyak, tapi doa kita semua insya-Allah sampai. Jom sama-sama doakan anak dia diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Turut disertakan tangkap layar mesej daripada penghantar makanan tersebut yang dihantar melalui aplikasi Grab memaklumkan bahawa anaknya yang berusia 5 tahun kini menghidap penyakit kanser darah dan dia memohon agar pelanggan tersebut mendoakan kesihatan anaknya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna tersentuh dengan tindakan lelaki tersebut selain ada juga yang mahu memberi sumbangan kepada kanak-kanak berkenaan.
“Ya Allah kesiannya. Mesti dia taktahu nak luah dekat siapa dah kan. Semoga adik Nur Alysa Rafina diberi kesembuhan dan diangkat sakitnya oleh Allah. Moga Abang Khairi diberi rezeki yang tak pernah putus-putus disebabkan kesabaran dalam ujian ini,” kata Cahaya Faizah.
“Saya kenal abang ini, selalu jumpa masa buat Grab. Abang ini memang baik, suka tolong orang. Dia pun banyak dah tolong saya, bila dengar ank dia kena kanser saya pun rasa simpati cuma tak tahu nak tolong macam mana. Tiap minggu dia ulang-alik hospital hantar anak dia, cuma ada lah sedekah sikit duit untuk dia. Terima kasih bagi tips dekat abang ini, semoga kalian dimurahkan rezeki,” kata Fendy.
“Bagus dia, dia tak nak duit, cuma perlu doa. Betul-betul ikhlas,” kata Amar.
Sehingga kini, hantaran tersebut memperoleh lebih 9,000 tanda suka. – KOSMO! ONLINE














