PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat antaranya di Kedah (Baling) dan Perak (Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kampar, Batang Padang, Kinta dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di kawasan Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Bentong), dan Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat).
“Selain itu, seluruh Melaka, Johor (Tangkak dan Muar), dan Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin),” katanya hari ini.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman (Sri Aman), Betong (Betong), Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Kapit (Song dan Belaga).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat turut melibatkan kawasan Pedalaman (Beaufort dan Nabawan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE






