PETALING JAYA – Selepas cuti perayaan Aidilfitri berakhir semalam, orang ramai akan ‘bertemu’ cuti panjang pada 27 Mei hingga 2 Jun sempena cuti penggal persekolahan.
Cuti selama tujuh hari yang bersambung dengan Hari Raya Aidiladha itu adalah yang panjang selepas bulan ini. Hari Raya Aidiladha disambut satu hari, namun bagi negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, mereka boleh menikmati cuti selama dua hari.
Menerusi hantaran pengguna @_muhdafiq23 di Threads, dia mengingatkan orang ramai mereka perlu memohon dua hari cuti tahunan untuk menikmati tempoh rehat yang panjang.
“Simpan siap-siap gambar ini. Ini bukan sekadar cuti, ini namanya seni pengurusan masa,” katanya.
Strategi tersebut menunjukkan golongan ibu bapa perlu memohon cuti pada 28 dan 29 Mei bagi menyambung cuti Hari Raya Haji yang jatuh pada 27 Mei ini dengan cuti hujung minggu dan cuti umum seterusnya pada awal Jun.
Langkah itu dilihat ideal memandangkan tarikh tersebut bertembung dengan cuti Penggal 1 Persekolahan Sesi 2026, sekali gus membolehkan perancangan aktiviti keluarga dilakukan tanpa sebarang gangguan.
“Seminggu ini, memang cuti pertengahan persekolahan,” kata Rahmannorwani.
“Terengganu dan seangkatannya lagi bagus. Tujuh hari terus cuti tanpa perlu mohon cuti,” kongsi Nfarhah. – KOSMO! ONLINE














