KLANG – Seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan positif dadah sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di sini, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kebenaran reman terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dibenarkan Majistret Siti Zubaidah Mahat di Mahkamah Majistret di sini pagi ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 30-an maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta pada pukul 10.40 pagi.
Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa. Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah selain memandu di bawah pengaruh alkohol. – KOSMO! ONLINE














