fbpx
Misi berisiko tinggi bagi menjejaki dan memujuk seorang rakyat Malaysia pulang ke tanah air pada 2013. FOTO FACEBOOK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

‘Ana nak berjihad di Syria, nak mati syahid’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Satu misi berisiko tinggi dilaksanakan pegawai Bahagian Antikeganasan (E8), Jabatan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Syria untuk memujuk seorang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Islamic State (IS) pulang ke tanah air.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, misi pada tahun 2013 itu bermula selepas pihaknya menerima permintaan ahli keluarga Talhah Al-Malizi yang mahu pemuda itu dibawa pulang ke Malaysia.

Menurutnya, Talhah yang ketika itu berusia 22 tahun merupakan penuntut tahun akhir perubatan di Ireland sebelum meninggalkan pengajiannya untuk menyertai kumpulan IS di Syria pada awal tahun sama.

“Sebelum itu, kami menjelaskan bahawa peluang untuk mengesan dan membawa pulang Talhah adalah tipis dan berisiko tinggi.

“ lDua pegawai operasi iaitu Inspektor Rafael dan Koperal Wisley dihantar ke Syria untuk menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pemberontak Free Syrian Army (FSA).

“Hasil kerjasama tersebut, pasukan operasi berjaya memasuki Syria melalui sempadan Turki sebelum mereka dibawa ke Old Aleppo dalam keadaan konflik bersenjata yang masih aktif.

“Pasukan turut berdepan situasi berbahaya termasuk ancaman serangan udara dan pergerakan dalam kawasan bergolak,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini.

Menurut Ayob Khan, usaha rundingan turut melibatkan beberapa kumpulan bersenjata lain bagi membolehkan pertemuan dengan Talhah diaturkan.

Katanya, selepas beberapa hari, pasuakn operasi akhirnya berjaya bertemu pemuda tersebut di sebuah lokasi persembunyian kumpulan IS.

“Dalam pertemuan singkat itu, pegawai cuba memujuk Talhah pulang dengan helah untuk melawat ibu bapanya. Kami beritahu ibunya sakit dan sangat merinduinya, sebaliknya dia enggan dan menyatakan hasrat untuk terus berjihad di Syria.

“Talhah berkata ‘Ana nak bawa (ibu bapa) datang sini tinggal dengan ana sebab joined (sertai) IS ni senang boleh dapat rumah. Talhah tidak mahu pulang dan mengatakan ‘ana nak berjihad di sini ana nak mati syahid, tanah Syam ni tanah suci’,” ujarnya.

Jelas beliau, selepas beberapa siri perbincangan diadakan, Talhah yang pada awalnya bersetuju untuk pulang, namun berubah situasi apabila kumpulan IS mula mengesyaki kehadiran pasukan tersebut.

“Pasukan kami diarah berkemas dan segera dipindahkan ke lokasi baharu. Kami juga diminta agar tidak memujuk Talhah untuk pulang lagi kerana pihak IS akan menjadi lebih marah. Kami diarahkan keluar segera dari Syria,” ujarnya.

Ayob Khan berkata, biarpun operasi membawa pulang Talhah tidak berjaya, namun pasukan E8  tetap melaksanakan usaha terbaik dalam keadaan berisiko tinggi.

“Ahli keluarga Talhah juga terpaksa menerima hakikat dia enggan kembali ke Malaysia,” katanya.

Beberapa bulan selepas itu, Talhah dilaporkan terbunuh dalam serangan menggunakan kenderaan berisi bahan letupan di Syria pada Jun 2014.

“Pengalaman operasi seperti ini menunjukkan cabaran sebenar dalam menangani ancaman keganasan serta kepentingan mengambil risiko yang dikira dalam operasi risikan,” katanya.

Walaupun terdapat operasi yang tidak mencapai matlamat, pengalaman tersebut penting dalam memperkukuh keupayaan pasukan serta melatih pegawai muda menghadapi situasi berisiko tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN