KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes menampar seorang remaja lelaki di sebuah premis Rotiboy di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.40 petang tadi di tepi Jalan Masjid India.
Katanya, suspek mengaku menampar mangsa sehingga terjatuh ke lantai kerana berang dengan tindakan remaja itu yang didakwa mengorek hidung ketika berada berhampirannya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan narkotik, namun ujian air kencing didapati negatif.
“Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun cedera di bahagian hidung selepas ditampar seorang lelaki dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari di premis sama.
Mangsa dilaporkan berada seorang diri ketika kejadian manakala ibu saudaranya menunggu di dalam kereta. – KOSMO! ONLINE














