fbpx
Antara perkongsian pengguna media sosial yang memaklumkan selipar raya mereka mengecut serta melengkung gara-gara cuaca panas di Kedah.

Beraya di Kedah, ramai balik dengan selipar kecil, melengkung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cuaca panas melampau sepanjang musim Aidilfitri di Kedah bukan sahaja memberi kesan kepada keselesaan orang ramai, malah turut menyebabkan kasut dan selipar getah ‘mengecut’ sehingga bertukar saiz lebih kecil.

Perkara itu dikongsikan oleh beberapa pengguna media sosial yang mendakwa berdepan pengalaman pelik apabila kasut mereka tiba-tiba tidak lagi muat dipakai selepas terdedah kepada suhu tinggi yang melebihi 37 darjah Celsius.

Pengguna Facebook, Hizandie Shuaib berkata, suhu di kampungnya mencecah sehingga 40 darjah Celsius dengan suhu dirasai sekitar 41 darjah Celsius, terutama pada waktu kemuncak antara pukul 2 hingga 4 petang.

“Panas yang menggigit kulit bila keluar rumah. Hari-hari lain suhu 38 hingga 39 darjah Celsius itu normal.

“Cuma kesan panas itu nampak juga. Selipar getah kami beberapa pasang mengecut. Selipar saya saiz 8 pun dah rasa macam saiz 7, tumit kaki sampai terkeluar,” katanya dalam satu hantaran.

Menurutnya, bukan sahaja selipar, malah kad Touch ‘n Go milik abangnya turut melengkung dipercayai akibat diletakkan dalam kereta yang panas.

Sementara itu, pengguna Threads @_mekchaaa turut berkongsi situasi sama di daerah Pendang apabila mendakwa kasutnya berubah daripada saiz 45 kepada saiz 39 akibat cuaca panas.

Seorang lagi pengguna, @caca_eyna berkata, dia pada mulanya menyangka tersalah mengambil selipar orang lain kerana terasa sempit ketika dipakai.

“Rupa-rupanya memang selipar sendiri, tapi jadi kecil. Ingatkan saya seorang sahaja, rupanya ramai alami perkara sama,” katanya.

Turut tular di TikTok, seorang pengguna dikenali sebagai @GG mendakwa seliparnya ‘melengkung’ akibat suhu panas yang melanda kawasan utara Semenanjung.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan enam kawasan di Semenanjung kini berada pada Tahap 2 iaitu gelombang haba setakat pukul 4 petang tadi.

Kawasan terlibat ialah Perlis, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling di Kedah serta Hulu Perak di Perak.

Selain itu, sebanyak 13 kawasan lain berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) termasuk Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, selain beberapa daerah di Pulau Pinang dan Perak.

Menurut MetMalaysia, tahap gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian melebihi antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, manakala tahap berjaga-jaga pula melibatkan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN