GEORGE TOWN – Seramai kira-kira 48 mangsa dilaporkan terjejas termasuk ada yang hilang tempat tinggal dalam kejadian kebakaran di Kampung Din Manbo, Batu Feringgi di sini, hari ini.
Mangsa terdiri 24 lelaki dan 23 perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki merupakan penghuni di 11 buah rumah yang rata-ratanya dibina separa kayu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 11 daripada 200 buah kediaman di kampung berkenaan musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 11.29 pagi tadi.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak empat buah kediaman penduduk musnah kira-kira 90 peratus.
“Peratusan kemusnahan lima lagi rumah adalah sebanyak 50 peratus manakala masing-masing dua buah rumah turut terjejas 30 dan lima peratus.
“Kebakaran yang berlalu mengakibatkan seramai 48 mangsa yang juga penghuni di 11 buah kediaman di situ terjejas,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan suasana tenang di Kampung Din Manbo, Batu Feringghi di sini bertukar cemas apabila 11 buah rumah penduduk di kawasan itu musnah dalam satu kejadian kebakaran.
Rata-rata mereka dikatakan berlari meninggalkan kediaman masing-masing sambil melaungan Allahuakbar ketika api sedang marak.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat kebakaran berlaku. -KOSMO! ONLINE














