PENYERANG Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin sedia menggempur benteng pertahanan Vietnam jika diberi peluang beraksi pada aksi terakhir Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027 di Nam Dinh pada Selasa depan.
Menurut Luqman, motivasi pasukan ketika ini sangat tinggi walaupun peluang ke pentas Piala Asia 2027 sudah tertutup selepas dibezakan enam mata dengan skuad Naga Emas ketika ini.
Luqman yang mewakili Negeri Sembilan FC (NSFC) berkata, kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Peter Cklamovski melonjakkan keyakinannya untuk membantu pasukan melakar kejutan ke atas tuan rumah nanti.
“Ini kali kedua saya dipanggil oleh jurulatih (Cklamovski) dan peluang yang besar untuk saya. Keyakinan yang saya ada sekarang datang daripada sokongan jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat kepada saya.
“Perlawanan seterusnya amat penting bagi saya. Ini bukan sekadar perlawanan biasa, tetapi melibatkan maruah diri saya, rakan-rakan sepasukan dan juga negara. Kami semua mahukan kemenangan dan akan berikan yang terbaik, insyaAllah.
“Apa yang pasti, saya harap perlawanan ini dapat membantu saya bangkit semula dari segi keyakinan dan semangat, serta membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih kepada saya,” katanya.
Bekas pemain KV Kortrijk di Belgium itu mengakui skuad Hobin Jang Hobin telah membantunya untuk mendapatkan semula prestasi terbaik.
“Di peringkat kelab (NSFC), saya turut mendapat sokongan penuh yang membantu meningkatkan keyakinan diri saya.
“Selain itu, minit permainan yang saya peroleh sangat penting. Bila saya kerap bermain, saya dapat rentak dan keyakinan itu datang secara semula jadi,” katanya.














