fbpx
Anwar berhubung dengan Presiden Iran bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat.

Anwar hubungi Presiden Iran, kecam serangan Israel dan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing.

Anwar berkata, dalam perbuatan tersebut beliau menyampaikan ucapan takziah Malaysia kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara mereka.

Menurut beliau, ia termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan di samping nyawa tidak berdosa kanak-kanak dan orang awam.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran.

“Dalam masa yang sama, Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan.

Katanya, beliau turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad.

“Pengalaman lalu membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lebanon.

“Justeru, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.

“Saya turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini.

“Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN