BANGKOK – Seorang pemandu lori ditemui mati di dalam kenderaannya di sebuah stesen minyak di wilayah Prachuap Khiri Khan, barat Thailand, dipercayai menunggu dalam barisan untuk mengisi diesel selama lebih 10 jam, lapor laman berita Thaiger semalam.
Warga tempatan, Phut Nutchabut, 51 tahun, dilaporkan hilang selepas majikan tidak dapat menghubunginya melalui telefon.
Pemilik kemudian mengesan lokasi terakhir lori itu dan mendapati ia berada di stesen minyak PTT, daerah Kui Buri kelmarin.
Phut ditemui terbaring tidak bernyawa di tempat duduk belakang dengan enjin lori masih hidup.
Polis berkata, siasatan awal menunjukkan Phut memandu ke stesen minyak pada pukul 10.53 malam Selasa lalu dan meletak kenderaan dengan enjin masih hidup di sana selama lebih 10 jam sebelum dia ditemui.
Dia dipercayai memasuki stesen untuk mendapatkan tempat di barisan hadapan dan tertidur semasa menunggu di dalam lori.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat jurang kecil di salah satu tingkap, dipercayai polis menyebabkan gas karbon monoksida masuk ke dalam kabin. Pendedahan berlebihan kepada gas berbahaya itu dipertimbangkan sebagai kemungkinan punca kematian.
Barisan panjang dilaporkan di stesen-stesen minyak susulan pengumuman kenaikan harga bahan api sebanyak 6 baht (73 sen) berkuat kuasa semalam. Ramai pemandu dilaporkan bergegas untuk mengisi minyak untuk mengelakkan kos lebih tinggi. – AGENSI














