SHAH ALAM – Kegembiraan seorang lelaki pulang dari kampung bertukar duka apabila kereta jenis Proton Wira miliknya lesap dari parkir staf sebuah premis kejuruteraan di Seksyen 33 di sini, kelmarin.
Kejadian disedari mangsa berusia lingkungan 20-an itu kira-kira pukul 1.14 pagi sebaik kembali ke lokasi untuk mengambil kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 3.12 pagi hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa meletakkan kenderaan tersebut di parkir berkenaan sebelum pulang ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan pada 21 Mac lalu.
“Siasatan turut mendapati mangsa bukan pekerja di premis tersebut selain lokasi berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu dengan menggunakan sebuah kenderaan lain.
“Usaha mengesan suspek dan menangkap suspek sedang giat dilakukan polis dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Justeru, beliau meminta mana-mana individu yang yang mempunyai maklumat bersabit kes ini boleh menyalurkan maklumat kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327 atau Ibu Pejabat Daerah ini di talian 03-55202222. – KOSMO! ONLINE














