KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,542 kenderaan diperiksa menerusi Ops Khas Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sekitar ibu negara.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, operasi itu melibatkan empat siri penguatkuasaan dengan fokus meningkatkan pematuhan undang-undang serta mengurangkan risiko kemalangan, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
Menurutnya, dalam operasi terkini di Plaza Tol Sentul Pasar semalam, sebanyak 3,120 kenderaan telah diperiksa dengan pelbagai kesalahan dikesan membabitkan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans.
“Antara kesalahan utama termasuk tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tidak mematuhi lorong motosikal, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian kenderaan termasuk ekzos.
“Turut dikesan kesalahan teknikal lain yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi tersebut turut melibatkan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan bagi memastikan penguatkuasaan lebih menyeluruh dan berkesan.
Katanya, sebanyak 66 motosikal turut disita sepanjang operasi dijalankan dan pemilik diminta tampil membuat tuntutan dalam tempoh ditetapkan.
“Mana-mana kenderaan yang gagal dituntut dalam tempoh tiga bulan dari tarikh sitaan akan dipohon untuk tindakan lucut hak mengikut peruntukan undang-undang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














