fbpx
Perniagaan air batu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk ekoran cuaca panas di utara termasuk Pulau Pinang.

Tak tahan panas, orang P. Pinang mandi ais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Fenomena cuaca panas yang melanda negara terutama di kawasan utara tanah air ketika ini menyebabkan ada penduduk di negeri ini yang mandi menggunakan air campuran air batu atau ais.

Perkara tersebut diakui peniaga, Muhammad Ibnu Rezze Abdullah, 29, yang memaklumkan perniagaan air batu yang diusahakannya di Teluk Kumbar di sini mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk setempat sejak Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu lalu.

Menurut lelaki itu, ­situasi tersebut amat berbeza jika dibandingkan dengan sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun lalu apabila hanya 450 bungkusan ais terjual.

“Kami (peniaga) memang tidak menang tangan menerima tempahan ais daripada pelanggan untuk majlis terbuka dan kegunaan di kedai makanan atau minuman sejak hari raya pertama sehinggalah keenam hari ini (semalam).

“Tahun ini agak luar biasa sedikit ekoran cuaca panas yang melanda kawasan utara sejak akhir-akhir ini. Ini kerana, ada pelanggan sanggup datang ke kedai berkali-kali untuk membeli ais dari pagi, tengah hari sehingga ke petang.

Seorang pekerja tidak menang tangan menjual air batu kepada pelanggan di Teluk Kumbar sejak hari raya pertama.

“Bila ditanya, mereka beritahu bekalan ais yang dibeli bukan untuk dicampurkan dalam minuman, tetapi untuk mandi ais. Ada juga yang beritahu cara tersebut dapat meningkatkan kesegaran badan berbanding mandi di su­ngai atau laut yang masih terdedah dengan cuaca panas,” kata­nya di sini semalam.

Muhammad Ibnu membe­ritahu lagi, ketika ini permintaan terhadap bekalan ais meningkat sehingga 700 ke 800 bungkus sehari.

“Disebabkan ini, kami terpaksa menambah stok bekalan antara 300 hingga 450 pek sehari,” katanya yang memberitahu setiap bungkus dijual RM4.

Dalam pada itu, katanya, dia tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga bekalan air batu sebanyak 50 sen menje­lang hari raya ke-10 ini.

“Kami bukan sengaja mahu ambil ke­sempatan sebab permintaan tinggi, tetapi terpaksa dinaikkan susulan kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter, berkuat kuasa hari ini (semalam) susulan pela­rasan harga minyak global,” ujarnya yang menggunakan lori sebagai pengangkutan utama untuk penghantaran ais.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN