KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Dalam Negeri China, Chen Yixin hari ini.
Anwar berkata, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari kerajaan China merupakan suatu ehwal yang beliau dan seluruh jentera Kerajaan Madani sangat hargai.
“Perbincangan kami terarah kepada perihal hubungan bilateral dari sisi kerjasama keselamatan dua negara, situasi geo-politik semasa dunia yang menuntut kerjasama erat dua negara sahabat dalam emastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini terus utuh,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara bertekad memperkasa hubungan diplomatik serta kerjasama keselamatan agar kemakmuran yang dikecapi dari aspek sosial dan ekonomi yang dinikmati rakyat kedua negara sentiasa terpelihara.
Anwar berkata, kedua-dua mereka berharap kemajuan yang dicapai bersama Malaysia dan China dalam pelbagai aspek akan terus menjadi dorongan untuk terus memacu hubungan akrab. – KOSMO! ONLINE














