AMPANG JAYA – Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam tong sampah di hadapan sebuah rumah di Taman Putra Ampang, di sini semalam.
Bayi itu dianggarkan berusia kira-kira empat jam ketika ditemui berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mengenai penemuan bayi berkenaan pada kira-kira pukul 6.27 petang.
Menurutnya, bayi itu ditemui dalam keadaan masih hidup sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bayi perempuan tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan serta pemantauan lanjut di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














