ALOR GAJAH – Seorang remaja perempuan bersama ibunya, kakak, adik lelaki serta kekasih direman empat hari bermula hari ini berhubung kes penemuan rangka bayi yang ditanam di hadapan rumah mereka di Kelemak, semalam.
Perintah reman sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Kamarul Aris Kamalluddin terhadap kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 40 tahun.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi dengan memakai baju lokap bewarna lokap berwarna ungu.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan pasukan polis menemui rangka seorang bayi yang ditanam di hadapan laman sebuah rumah di Kelemak, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan penemuan itu lima individu ditahan iaitu seorang remaja perempuan, ibunya, kakak dan adik lelaki serta teman lelakinya.
Menurut sumber, bayi tersebut dipercayai ditanam oleh keluarganya sendiri kira-kira empat bulan lalu.-KOSMO! ONLINE














